Khamis, 23 September 2010

LANGKAWI DI ERA SUMPAHAN MAHSURI


Bismillahirrohmanirrohim

Cerita ini sebenarnya tiada kaitan dengan lagenda Mahsuri, tetapi aku pernahlah melihat cucu-cicit Mahsuri semasa kami keluar masturat 40 hari di Phuket, Thailand dikampong tempat tinggal cucu-cicitnya termasuklah Aisyah yang kesahnya gah diperkatakan satu masa dahulu di surat khabar perdana Malaysia, telah pun berkahwin baru-baru ini. Mereka tinggal di Kamala Phuket ditepi pantai, Pantai Kamala yang terkenal juga di sini, kami ada menjemputnya ke program masturat berhampiran rumahnya, mungkin ia ada hal lain menyebabkan dia tidak dapat hadir. Di Kamala banyaklah keturunannya, ada yang ikut jemaah dakwah dan memberi nusroh pada jemaah kami. Maaf sudah lari dari tajuk asal, sebenarnya aku nak kongsi pengalaman keluar di Langkawi era sumpahan Mahsuri sebelum zaman “Langkawi Moden” sekarang.

Pada tahun 1981 ketika itu aku baharu ditahun pertama di UPM Serdang, pada cuti akhir semesta jemaah kami telah dibentuk dan telah diputuskan untuk keluar ke Perlis,dan aku sebagai “amer sab” jemaah, dalam jemaah ini akulah kira yang muda sebab yang lain ada yang final year,2nd year dan juga beberapa orang kawan aku, 1st year yang baru pertama kali keluar 40 hari, kebanyakkan kami dari kolej kediaman ke 6. Yang aku masih ingat lagi kawan-kawan aku itu, Sani bin Palil dari Banting (sepupu penyanyi Malik Ridzwan), Yahya Atan (bukan pemain Hoki), Nasir bin Ismail (sekarang jadi Penolong Pengarah LKIM Kedah), Rasid bin Chik , Trangganu (sekarang Pensyarah Maktab di T ganu), Zakaria Ansori (Guru Besar di Jitra), ini semua kawan baik aku, pengalaman taskil mereka keluar masyaallah, yang tidak boleh aku lupa, bila sahaja exam sudah tamat, wujud satu suasana balik kampong di kampus, disemarakkan lagi dengan lagu dendangan Allahyarham Sudirman, lagu “Balik Kampong” terdengar dimana-mana. Sesiapa yang mendengarnya memanglah teringat akan suasana kampong dan keluarga yang sudah lama terpisah dan keiginin untuk balik kampong memang semakin membuak-buak, jadi kita “orang lama” ini kena sibuklah buat taskil dan antara mereka yang dah siap beg nak keluar 40 hari pun dah membeli tiket nak balik, apalagi aku ambil beg tersebut dan aku ambil juga tiket yang dah dibeli itu aku jual kepada orang lain, akhirnya keluarlah juga dia, Alhamdulillah. Jadi untuk mereka yang masih belajar kat IPT atau IPTS masa hari akhir peperiksaan itulah hari yang sangat penting untuk kerja usuli, jika tidak dibuat sungguh-sungguh akhirnya kita sahaja yang keluar

Jemaah kami sebenarnya lebih dari sepuloh orang. Mula-mula kami berusaha di Perlis, masa itu jika tak salah aku markasnya di Kaki Bukit. (sekarang markas baru di Beseri tempat Jor utara). Di Perlis waktu itu usaha tidaklah kuat macam sekarang. Rakan seusaha tidak ramai, kami buat usaha secara sendirilah tanpa ada orang nusroh dan sebagainya, masjid-masjid yang dimesyauaratkan kami berusaha semuanya gersang bahkan kering kontang, satu orang pun tidak datang berjemaah, 5 waktu kami sahaja yang sembahyang tiada seorang pun orang tempatan yang datang, waktu itu ugama amatlah daif, orang tidak kenal agama, tidak kenal masjid, amatlah sedih. Seingat aku ada tiga masjid yang ada jemaah 5 waktu, masjid pertama, di Kuala Perlis kawasan nelayan, di sini hidup 5 waktu tetapi jemaah wanita lebih ramai dari lelaki, masih lagi aku ingat setiap pagi selama 3 hari berturut-turut seorang nenek ahli jemaah di masjid ini telah menyediakan sarapan pagi kepada kami, katanya dia suka melihat kami anak muda keluar dakwah , kami ini bagai anak cucunya. Waktu hendak pindah ke masjid lain, nenek ini siap dah tunggu dipintu masjid untuk bersalam dengan ahli jemaah semua. Aku seorang sahaja yang tidak bersalam kerana aku keluar ikut pintu lain.

Tempat kedua ialah Kampong Kolam, berdekatan dengan Padang Besar sempadan Thailand, jika tak salah ingatan aku surau, disini ada amal, gast, taklim dan keluar 3 hari (keluar di markas), satu keluarga yang buat usaha di sini iaitu keluarga Pak Kasim dan anak-anaknya, sekarang pun masih aktif, sudah tua, awal bulan mei baru ini keluar masturat 3hari di Alor setar.

Masjid ketiga ialah Masjid Raja di Arau, usaha dibuat oleh Allahyarham cikgu Mad Isa dan Pak Syed (sekarang ada di Masjid Akar Peluru Alor Setar sudah uzur).

Pada suatu hari mesyuarat di markas, mereka telah putuskan untuk pecahkan jemaah kami menjadi dua untuk diserap dengan orang Perlis. Aku apalagi bangun menyinga membantah keputusan yang telah dibuat, kataku tiada tertib buat begitu. Akhirnya diputus jemaah kami buat usaha di langkawi, budak-budak ini memanglah seronok nak pergi Langkawi, apalagi mesyuarat sudah putus. Besok pagi kami pun bertolak dari kuala Perlis ke langkawi dengan semangat untuk berusaha lebih gigih. Sebelum pergi mereka telah memberi nama-nama masjid yang kami perlu buat usaha. Bila sampai di Langkawi, tiada siapa yang menyambut kami, bukan saperti sekarang, telepon sahaja jemaah nak datang mereka telah tunggu dengan kenderaan menjemput jemaah. Kami hanya mesyuarat bagaimana nak bergerak, bas hanya ada sebuah sahaja waktu itu iaitu Bas MARA, yang membuat perkhidmatan keseluruh langkawi. Selain itu ada juga kereta sapu. Jumlah kereta amatlah sedikit, maklumlah era sumpahan Mahsuri lagi.Langkawi masa itu banyak hutan, jalan raya hanya sedikit sahaja. Setiap masjid yang kami buat usaha adalah juga orang berjemaah tetapi wanita lebih daripa lelaki. Semasa kami berusaha disini adalah juga orang baru yang ikut kami, salah seorang ialah Che Ani, masa itu dia masih remaja, dia tinggal bersama bapanya yang telah tua dan uzur di pantai Chenang, rumah mereka pun telah uzur tetapi tanah milik mereka sendiri. Che ani dia berminat, setiap hari selepas memandikan bapanya dia akan datang kepada kami dengan berbasikal. Dia mengikut kami agak banyak hari juga hingga jemaah kami mesra dengannya. Rezki datang siapapun tidak tahu, selepas langkawi diistihar Pulau Bebas Cukai, tanah milik mereka ini telah di beli oleh LADA, Che ani telah menjadi orang senang tetapi Alhamdulillah usaha agama dia tidak tinggalkan, masih buat usaha hingga sekarang, dia adalah satunya orang yang agak lama buat usaha di Langkawi hingga sekarang.

Semasa kami berusaha di Langkawi, semua perkara yang kami lakukan , samada ke kedai untuk khidmat masak, khususi imam atau AJK masjid atau sesiapa saja semuanya berjalan kaki hinggakan nak pindah masjid lain pun berjalan kaki juga, tiada orang yang nusroh. Tetapi budak student ini seronok dan buat kerja sunggoh-sunggoh. Waktu itu masih ramai lagi orang melayu yang memelihara anjing di rumah mereka, aku pun tidak tahu apa tujuan mereka memelihara anjing. Satu perkara yang anak buah aku seronok ialah, setiap masjid yang kita pergi selama 3 hari, ramailah orang kampong yang datang pada kami dengan membawa hadiah saperti makanan dan buah-buahan (bacang,Kuanin rambutan kekadang durian) selepas itu mereka berbual pula dengan jemaah, yang tak tahannya ialah yang datang itu semuanya wanita, ada makcik, ada kakak dan ada juga awek muda, yang “muda” inilah membuatkan mereka tak tahan berada lebih lama kat Langkawi, takut tergoda. Semua masjid layanannya saperti itu, akhir sekali mereka sebulat suara nak pulang ke Kedah pula, masa itu ijtimak Penanti sudah hampir, jadi keputusannya kami pulang ke Kedah terus ke Penanti dan habiskan cillah kami di Ijtimak Penanti. Walaupun masa itu kami masih muda remaja aku sendiri sebagai ameer saab umur baru masuk 20 tahun dan yang paling tua 22 atau 23 tahun, tetapi kerja dapat dijalankan dengan baik ikut tertib dan usul saperti dalam bayan hidayah, hubungan kami amat baik dan mesra, di Perlis ada seorang baru yang keluar dengan kami waktu itu dan sehingga sekarang dia masih aktif tetapi sudah uzur kerana tua, dia jika berjumpa aku di Perlis selalu beritahu kawannya bahawa dia mula-mula kenal dan keluar tabligh dengan jemaah aku. Di Langkawi ada 3 orang tua yang ikut kami dan mereka istiqomah keluar 40 hari seleapas itu. Sekarang ketiga-tiga mereka sudah meninggal dunia.

Sekarang semuanya menjadi kenangan, aku sering teringat akan mereka, waktu itu kebanyakkan mereka baharu pertama kali keluar 40 hari, pengalaman mereka hanya “satu hari setengah” yang sudah keluar beberapa kali, bayangkan bagaimana waktu itu aku seorang sahaja yang sudah keluar 4 bulan, tanpa ada orang awam dengan kami. Aku pun pertama kali jadi Ameer saab,jadi teruklah sedikit (banyaklah) fikiran dan tenaga digunakan untuk ikram mereka sehingga cukup 40 hari.Sebab itulah sampai sekarang aku masih ingat pada mereka semua. Masa yang selalu aku ingat kepada kawan-kawan lama yang sama-sama berusaha keluar di jalan Allah ialah semasa aku terlantar di hospital (kerap masuk hospital dalam setahun 4 atau 5 kali, sekali masuk seminggu lamanya), masa ini aku sering teringat pada mereka.Ingatan ini menyebabkan air mataku mengalir seorangan. Idea untuk menulis ini pun aku dapat semasa aku berada dalam wad hospital Sultanah Bahiyah A.Setar.

Sekarang Rasyid sebagai Pensyarah di Maktab Perguruan di Trangganu, Zakaria, guru Besar di Jitra, ada azam mahu keluar semula, Naser timbalan Pengarah LKIM Kedah , ada azam mahu keluar semula tetapi sudah lumpoh sebelah badan, Mustafa aku berjumpa dia di Yala Thailand sudah beristeri tiga (Madu Tiga) dia taskil aku untuk tambah satu lagi, aku cakap pada dia lain tahun boleh kawin sekarang tak boleh, yang lain aku tak pernah jumpa sampai sekarang. Alangkah seronoknya aku sekiranya Allah swt mempertemukan aku semula dengan mereka di dunia ini.

3 ulasan:

  1. kenangan keluar 40 hari boleh kekal sampai berpuloh tahun.
    Allah.. indah ukhuwah dalam jemaah

    BalasPadam
  2. Ibnu Mutalib itulah manisnya bila kita khuruj fi sabilillah, insyaallah diakhirat nanti kita akan bertemu lagi dan akan ceritakan apa yang telah kita buat di dunia dulu alangkah indahnya masa itu.

    BalasPadam
  3. Salam,kisah jemaah saya yang meninggal di Markaz masjid Nizhamuddin,telah siap.
    Harap sudi-sudilah membacanya.Semoga mendapat iktibar dari kisah tersebut.Terima kasih.

    BalasPadam