Rabu, 12 Mei 2010

TAHAJJUD POSMEN MEMBUKA HATI SEORANG……

BISMILLAHIRROHMANIRROHIM

Dalam cerita Singapura dilanggar Todak, dengan fikir seorang kanak-kanak telah menyebabkan Singapura selamat dari ancaman todak, begitu juga apabila negeri Beringin Rendang berlawan dengan negeri Masai dengan mempertaruhkan Negara melalui empat soalan cepumas, jika kalah negerinya akan tergadai tetapi dengan asbab seorang kanak-kanak namanya Belalang dan bapanya Pak Belalang maka negeri Beringin Rendang diselamatkan .

Inilah kesah benar yang aku ingin ceritakan. Kesah ini berlaku disekitar tahun 1981, masa itu aku masih belajar di UPM .Pada masa cuti semester 5 minggu aku telah keluar dakwah Tabligh 20 hari kat Melaka bersama pelajar dan lagi 2 minggu aku pulang kampong kat kuala kedah.

Dalam cuti 2 minggu kat kampong aku telah pergi kat markas di Alor Setar. Di markas ada satu jemaah 40 hari baru sampai, campur dari Johor dan Melaka. Amernya Mujahid dari Johor ia bekas pelajar UPM ( Sekarang menjadi Pengarah Pertanian Pahang bergelar Dato jika tak silap). Jemaah dimesyuaratkan keluar di kawasan Kuala Nerang dan patah balik ke Pokok Sena, aku ditasykil untuk nusroh 5 hari.

Masjid pertama ialah di masjid Pekan kuala Nerang, mula-mula tak dapat masuk tetapi setelah berjumpa dengan imam dan Ajk dibenarkan juga masuk, disini tidak ada sambutan dari orang tempatan, kecuali ada seorang pelajar SPM namanya Tarmizi, ia ikut 3 hari bersama kami. Tarmizi ini lepas SPM telah sambung belajar kat UPM dan berjumpa dengan aku kat sana dan dia menjadi fikirman kat Kolej ke2 UPM. Aku masih ingat di masjid ini AJK telah mengambil nama kami bersama pekerjaan, disinilah aku mengetahui pekerjaan semua ahli jemaah.

Masjid kedua kami pergi ialah masjid Felda Bukit Tembaga (Felda yang kedua di Malaysia selepas Felda Lurah Bilut di Bentong Pahang). Kami sampai pagi Jumaat, sambutan disini amat baik, Imamnya sendiri telah duduk bersama kami dalam mesyuarat pagi dan juga taklim, dimana dia telah belajar adab dan usul, 4 perkara dibanyakkan, 4 perkara dikurangkan 4 perkara ditinggalkan dan 4 perkara jangan disentuh semasa keluar jalan allah. Rupa-rupanya adab dan usul ini beliau telah membaca dan membahasnya sewaktu mengajar sebelum solat jumaat, tetapi secara positif mengikut al quran dan hadis. Tuan Imam ini merupakan Tok Guru, beliau belajar pondok dari kecil sehingga tua dan mengajar lagi kat pondok kemudian dilantik menjadi imam di Felda Bukit Tembaga.

Jemaah telah berusaha seperti biasa dan setiap ada program ijtimae Tok imam ini pasti akan duduk dan mendengar dengan penuh perhatian dan tak pernah beliau komplen apa-apa pada jemaah. Sehingga waktu malam beliau makan bersama kami dan duduk dalam taklim akhir dan adab tidur. Semasa adab tidur diberi, kelebihan tahajjud juga disebut dengan banyak untuk menimbulkan keghairahan untuk beramal. Disini kami duduk 3 hari dan jemaah berpindah ketempat lain, aku pula balik rumah.

Dipendekkan cerita dah lama aku tidak dengar ceritanya kecuali sekali ada aku dengar beliau telah dibawa oleh jemaah Khawas keluar kat Thailand 10 hari. Pada tahun 1982 ijtimak dunia di Terangganu, aku telah keluar 4 bulan ke IPB sebelum ijtimak diadakan. Setelah tamatnya Ijtimak di Terangganu banyak jemaah 4 bulan telah dihantar ke IPB termasuklah Tuan Imam ini. Aku telah berjumpa dengan beliau di Markas Nizamuddin India. Ia begitu seronok berbual dengan aku. Disinilah beliau mencerikan padaku bagaimana ia tertarik dengan jemaah tabligh ini. Bermula dengan jemaah kami yang keluar kat tempatnya dahulu, dimana setiap program yang dia duduk itu, tujuannya untuk melihat amalan-amalan orang dakwah. Beliau berkata padaku “Musa, masa depa bagi kelebihan tahajjud, saya dok ingat depa cakap saja mereka tak boleh buat, sebab saya dari kecil sampai besar mengaji pondok kemudian mengajar di pondok pula pun susah nak solat tahajjud, bangun buang air kecil bolehlah” Inilah kata-katanya yang masih aku ingat. Katanya lagi “malamtu saya tak tidoq, saya dok perati(lihat) apa depa buat, depa semua tidoq dah. Kemudian agak malam sikit, bangun sorang, pelan-pelan (perlahan) jalan pi bilik air, sapapun tak dengar dia jalan dalam kelam, kemudian bangun pula sorang lagi, macam tu juga, senyap , kumudian bangun lagi, kemudian depa sembahyang tahajjud secara senyap-senyap tak ganggu sapa” . Tambahnya lagi “Lepas tu depa semua pakat berdiri sembahyang, saya pula jalan pelan-pelan pi dengar depa baca apa, tiap-tiap orang saya pi dan dengar, depa baca surah apa sebab berdiri lama.sampai kat sorang tu saya dengar dia baca surah yaasin, saya ingat dia ni mesti orang alim sebab dia baca yaasin dalam tahajjud, orang biasa mana boleh buat macamtu”. Besoknya dia Tanya amer jemaah iaitu Mujahid siapa orang tu sambil menuding tangan kearah orang yang membaca surah yaasin malam tadi dalam tahajjud. Amer sab memberitahu dia kerja sebagai posmen dari Melaka, dengar sahaja “Posmen” terkejutlah Imam ini. “saya terkejut ingat kan orang alim tapi posmen sahaja, malu saya dengan amalan depa ini, hati saya berasa tersentuh dan sebab itulah saya ikut jemaah tabligh ini”. Ini luahan imam ini pada saya secara ikhlas kat markas Nizamudin. Maksud tuan imam ini bukanlah beliau nak merendahkan posmen ini tidak sama sekali, tapi kebiasaannya di Negara kita ini, Jika seseorang yang bekerja disektor yang bukan ugama , pengetahuan agamanya tidaklah setinggi mana, sekadar biasa sahaja. Tapi bila beliau lihat amalan orang ini hebat seperti amalan orang alim, itulah yang membuat beliau terkesan dihatinya.

Apabila saya habis belajar di UPM dan balik kampong kami sering keluar 3 hari bersama termasuklah keluar masturat, aku amatlah akrab dengan beliau, cucu perempuannya pun aku mengajar kat sekolah dan pernah keluar masturat bersama dengan aku.Walaupun aku muda tapi beliau amat suka untuk keluar jalan allah bersama dengan aku.

Diakhir-akhir hayatnya ,kalau dulu kami sama-sama pergi buat khususi berjumpa manusia cerita tentang kebesaran Allah dan kepentingan usaha agama allah dan ajak orang keluar di jalan Allah. Bila masuk zaman Milanium tahun 2000 kami juga sama-sama telah dimasukkan ke hospital dengan sakit masing-masing, berulang-ulang masuk dan keluar hospital bersama sehinggalah Allah telah menjemput beliau kehadratnya, meninggalkan aku dengan kenangan bersamanya yang tak akan kulupakan. Sekarang usaha dakwah ini telah disambung oleh menantu lelakinya yang telah berkahwin dengan anak perempuannya, yang mana mereka ini suami isteri banyak berkorban di jalan Allah swt. , kerap rumah mereka menerima jemaah masturat. Inilah yang dikatakan keberkatan Ibubapa yang membuat pengorbanan atas agama Allah, Insyallah Allah akan ambil ahli keluarga untuk sambung usaha agamanya. Menantunya ini juga amat baik dengan aku, kerana nak menyambung persahabatan yang telah terjalin dengan bapa mertuanya.

Nama Tok imam ini ialah AllahyarhamTuan Guru Iman Haji Ibrahim semoga Allah mencucuri Rahmat keatasnya dan memasukkan Rohnya bersama Nabi-nabi, Siddiqin, Syuhada` dan Solihin. Amin

1 ulasan:

  1. Salam Tuan..
    Subhanallah..Cerita yang indah..

    BalasPadam